Artikel dari laman berita dan blog:
budiey.com - 18.02.2010
Pelancaran Single Heliza Helmi Panggil Namaku

Pada jam 3 petang semalam telah berlangsung Majlis Pelancaran Single Terbaru Heliza Helmi berjudul Panggil Namaku di tingkat 30, Hotel Crowne Mutiara Plaza. Serentak dengan itu juga, syarikat milik Heliza iaitu Heliza Helmi Productions yang telah ditubuhkan dua tahun lalu juga dilancarkan dengan disaksikan oleh VIP dan media.
Heliza hadir dengan memakai topi dan berseluar hitam, berbaju juga hitam dan disalut dengan jaket putih krim.
Adakah ini imej terbaru Heliza?
Menurut Heliza, imej bertopi ini adalah khusus untuk majlis ini dan dikira bersesuaian dengan konsep lagu terbaru yang agak hip dan rancak. Tak ubah seperti lagu rancak Agnes Monica. Tapi konsepnya sebenarnya Etnik R&B.
Eh jap, tengok pada gambar di bawah ni, bila pakai topi ni, Heliza tak tumpah pulak macam penyanyi Camelia, kan?
Semasa mempersembahkan lagu ini, budiey dapat rasakan vokal Heliza makin meningkat serta Heliza dah makin ligat menyanyi. Tahniah Heliza!
Dah dengar lagu terbaru Heliza? Kalau belum mungkin sedikit masa lagi korang akan dengar melalui corong-corong radio. Dengarnya, single Panggil Namaku sudah dihantar ke seluruh stesen radio.
Di majlis ini juga, Heliza sekeras-kerasnya menafikan gossip yang mengatakan dia bakal berkahwin dengan seorang Datuk. Mmm… gossip aje tu kan? Tapi tu lah, Heliza takut masyarakat akan pandang serong. Sebenarnya, Heliza bukan sibuk buat persiapan kahwin tapi sibuk buat persiapan untuk majlis ni dan tak lama lagi Heliza sibuk dengan final exam.
Apa-apa pun, good luck Heliza!
.....
gua.com.my - 18.02.2010
'Panggil Namaku Taruhan Heliza'

Setelah lama tidak muncul dengan sebarang produk, Heliza Helmi akhirnya muncul dengan ‘single’ terbaru berjudul “Panggil Namaku”. ‘Single’ hasil ciptaan Shafi Vocal Studio (SVS) ini menampilkan konsep Etnik R&B dan urban muslimah, sesuai dengan penampilan Heliza yang bertudung.
‘Single’ yang diterbitkan di bawah Heliza Helmi Production Sdn Bhd (HHP) ini dianggap cukup istimewa kerana ini adalah percubaan pertama Heliza menghasilkan ‘single’ sendiri dengan kerjasama dan dorongan keluarga serta Cikgu Shafi. Bahkan, Heliza juga turut terlibat dari awal hingga akhir dalam proses penerbitan ‘single’ ini.
Persoalannya, mengapa mengambil masa begitu lama untuk muncul dengan ‘single’ terbaru? Adakah kerana tidak ada yang sanggup mengeluarkan belanja atau ada sebab lain?
“Sebenarnya, sebelum ini saya pernah merakamkan ‘single’ ketika masih bersama Astro Entertainment. ‘Single’ berjudul “Warna Sendu Tarian Jiwaku” itu dicipta oleh Aidit Alfian dan liriknya ditulis oleh Ad Samad. Bagaimanapun, sehingga kini, ‘single’ itu masih tidak dilancarkan dan saya sendiri tidak tahu apa statusnya memandangkan saya kini tidak lagi bersama mereka.
“Untuk ‘single’ terbaru ini pula saya tidak dapat hasilkan dengan cepat kerana jadual saya terlalu padat. Saya sibuk dengan pembelajaran saya di universiti. Kalau ada cuti pun, saya ada undangan yang perlu dipenuhi. Bukan tidak mahu menghasilkan sesuatu yang baru, tetapi kekangan masa yang menyebabkan ia tertangguh,” jelas Heliza ketika sidang media pelancaran ‘single’ terbarunya di Crowne Plaza Hotel kelmarin.
Dalam pada itu, Heliza turut ditanya mengapa tidak muncul dengan album penuh atau mini album sahaja memandangkan dia mengambil masa yang panjang untuk muncul semula. Jawab Heliza, bukan mudah untuk menghasilkan album memandangkan dia mempunyai masa yang terbatas untuk karier seninya buat masa ini.
“Untuk ‘single’ ini pun saya mengambil masa yang panjang untuk merakamkannya. Terus-terang saya katakan, saya memang tidak mempunyai masa untuk terlibat dengan penghasilan album. Untuk buat album bukannya mudah, prosesnya rumit dan perlukan masa yang banyak. Bagaimanapun, perancangan untuk menghasilkan album sudah ada. Kalau semuanya berjalan lancar, album saya akan lahir pada tahun ini juga. Cuma tidak tahu pada bulan berapa,” tambah Heliza lagi.
Kini bergelar ahli perniagaan
Walaupun sibuk dengan tugas sebagai pelajar, dalam diam-diam Heliza kini sudah pun bergelar ahli perniagaan. HHP yang ditubuhkan pada dua tahun lalu kini berkembang maju apabila Inai Kiara Sdn Bhd membuat pelaburan dalam syarikat yang menguruskan perjalanan karier heroin filem ‘Syurga Cinta’ ini.
Dengan perkembangan terbaru ini, HHP bukan lagi hanya terlibat dengan bidang hiburan tetapi skop perniagaannya semakin berkembang kerana turut terlibat dengan beberapa perniagaan lain seperti perkapalan, dagangan dan fabrikasi.
“HHP adalah platform untuk saya mempelajari bidang perniagaan. Mungkin ada yang bertanya mengapa saya tiba-tiba ingin masuk ke dalam bidang ini. Macam yang pernah saya katakan sebelum ini, saya sebenarnya tidak tahu apa yang akan jadi kepada saya apabila tamat belajar nanti.
“Memang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan & Sains (Biologi & Kimia) itu membolehkan saya menjadi guru, tetapi dengan kerjaya sebagai penyanyi, saya rasa tidak mungkin saya boleh menjadi guru dalam masa yang sama. Sebab itulah saya ambil peluang perniagaan ini. Harapan saya hanya satu, apabila syarikat semakin berkembang, saya boleh buka pusat tuisyen. Keinginan menjadi tenaga pengajar memang sudah ada dalam diri saya.
“Selain itu, saya lakukan ini juga adalah kerana keluarga saya. Saya tidak tahu berapa lama saya boleh bertahan dalam bidang nyanyian. Perniagaan ini adalah jaminan masa depan kami sekeluarga. Sudah tiba masanya untuk saya membalas jasa orang tua,” jelas Heliza bersemangat.
Heliza sedia tepis gosip
Kehidupan seorang artis memang tidak boleh lari daripada gosip. Itu adalah hakikat yang perlu ditelan oleh mana-mana artis, sama ada baru mahu pun lama. Walaupun tampil dengan imej bertudung, Heliza juga tidak dapat lari daripada gosip-gosip liar. Pasti ramai yang sudah tahu tentang gosip yang mengatakan gadis cantik manis ini akan mendirikan rumahtangga dengan seorang Datuk dalam waktu terdekat ini bukan? Apa tidaknya, gosip ini rancak diperkatakan di internet baru-baru ini.
Menurut empunya badan, dia pun tidak faham bagaimana gosip itu boleh timbul sedangkan dia langsung tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana lelaki yang bergelar Datuk.
“Saya pun terkejut apabila rakan saya maklumkan perkara ini. Mana mungkin saya akan berkahwin pada pertengahan tahun ini kerana pada waktu itu saya perlu menghadapi peperiksaan penting. Ini adalah tahun akhir saya di universiti, jadi banyak tugasan yang perlu disiapkan.
“Lagipun, saya tidak mengenali mana-mana Datuk yang boleh dijadikan calon suami. Terus-terang saya katakan, saya masih belum terfikir tentang perkahwinan. Umur saya baru 24 tahun dan banyak lagi perkara yang perlu saya lakukan terlebih dahulu,” jelas Heliza sambil diperhatikan oleh ayah dan ibunya yang turut hadir.
Bagaimana pula dengan cerita yang mengatakan Heliza sekeluarga ditaja oleh seseorang untuk ke London?
“Cerita itu juga tidak benar. Heliza ke London atas undangan seorang kenalan bergelar profesor yang mengajar di sana. Kami ke sana untuk tayangan filem ‘Syurga Cinta’ di Malaysia Hall. Ketika itu, hanya saya dan ayah Heliza yang menemaninya,” sampuk Huda Shazwieda yang bertindak sebagai salah seorang staf pengurusan artis HHP.
.....
murai.com.my - 18.02.2010
Heliza Bukan Dibela Datuk
.jpg)
KUALA LUMPUR, 18 FEB 2010: Majlis pelancaran single terbaru bintang Akademi Fantasia 5 (AF5), Heliza yang berjudul Panggil Namamu hampir mengundang kejutan apabila ia diibaratkan mengalahkan pelancaran sebuah album penuh. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran ramai pelakon, penyanyi senior serta orang kenamaan.
Ia menguatkan lagi desas-desus yang sebelum ini mengatakan bahawa Heliza atau nama sebenarnya Heliza Helmi, 24, telah dibela seorang Datuk yang kaya raya. Adakah VIP yang dimaksudkan itu, Dato' Captain Gulzar Mohamad yang kebetulan mempunyai kaitan dengan syarikat produksinya, Heliza Helmi Productions yang telah pun beroperasi selama 2 tahun?
Apakah benar seperti yang didakwa ini?
Heliza tanpa segan silu bagaimanapun menegaskan bahawa gosip tentang dia telah dibela, sudah berkahwin serta ditaja sehingga ke London adalah seratus-peratus fitnah semata-mata.
“Sebenarnya, cerita ini sangat mengarut. Betul, saya kenal dengan Dato' Captain Gulzar Mohamad. Tapi, saya mengenalinya menerusi isterinya, To’ Puan Atiah.
"Kehadiran Dato' Captain Gulzar Mohamad serta isterinya, To' Puan Atiah adalah atas dasar perniagaan saja yang mana mereka merupakan kongsi niaga di dalam syarikat produksi saya," katanya.
Menyokong pendapat anaknya itu, ayah Heliza iaitu Helmi Hasbi menyangkal dakwaan anaknya sudah berumahtangga atau pun sudah menjadi isteri kedua seorang Datuk.
"Kalau ada orang yang datang meminang, sayalah orang yang pertama akan tahu dulu," tegas ayah Heliza.
Menjelaskan pula tentang gosip yang mengatakan Heliza ditaja oleh seseorang ke London, pengurusnya Huda berkata, orang yang dimaksudkan itu adalah kenalannya.
"Nama dia adalah Professor Nirwandah. Sebenarnya, pihak professor berminat mengundang Heliza untuk tayangan filem Syurga Cinta. Jadi, dia membawa Heliza ke sana. Pemergian Heliza atas urusan promosi saja," jelas Huda.
Sambung Heliza lagi, setiap apa yang dilakukan selamanya ini adalah disebabkan keluarganya.
"Tapi, sudah menjadi lumrah, setiap apa yang kita buat kadangkala pasti akan dipandang serong. Pelbagai persoalan bernagkit diajukan. Tapi, saya anggap ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Apatah lagi buat diri saya yang masih lagi bergelar mahasiswi.
"Setiap hari, saya belajar pun kena jawab soalan dari pensyarah. Bagi saya, semua soalan yang kena saya jawab adalah sistem pembelajaran buat saya. Pertanyaan itu bagus tapi dalam masa yang sama, saya takut juga.
"Saya harap masyarakat janganlah bulat-bulat percaya dengan apa yang digembar-gemburkan sebelum ketahui sebab musababnya,” kata Heliza.
Selain menerbitkan single, Heliza dibawah syarikat produkskinya itu bakal menerbitkan sebuah konsert penghargaan buat karya Dato Ahmad Nawab di di Istana Budaya tidak lama lagi.
Tidak hairanlah mengapa majlis pelancaran single Heliza itu itu diserikan dengan kehadiran tetamu seperti Dato' Aziz Sattar, Dato' Khadijah Ibrahim, Rosyam Noor, Azlina Aziz, Herman Tino, Norlia Ghani, Halil Cik, Dahlan Zainudin, AR Badul, Hairie Kool, Muslee Ramlee, Salwa, Zulkifli Zain, Altimate dan ramai lagi. Pengacara popular, Zainal Alam Kadir bertindak selaku pengacara pada petang itu.
Copyright © 2010
